Kejadian menyayat itu berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi semasa mangsa, Muhammad Faqih Mohd. Fitri tanpa disedari wanita tersebut merangkak keluar rumah mengekori ibunya dan menuju ke belakang kereta.
Muhammad Faqih yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disahkan meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian ketika dirawat di wad kecemasan akibat kecederaan dalaman.
Menurut bapa mangsa, Mohd. Fitri Ngah, 40, menjadi kebiasaan isterinya, Faizah Yusof untuk membantu memanaskan enjin, mengundur dan mengalihkan kereta bagi memudahkannya untuk ke sekolah setiap hari.
Dia yang juga seorang guru berkata, ketika kejadian, dia memang tidak perasan anak bongsu daripada enam beradik itu merangkak keluar ketika pintu rumah kebetulan terbuka.
"Sebelum ini, memang saya ada riba dan peluk Muhammad Faqih tapi terpaksa meletakkannya kerana mahu minum pagi selain melayan kerenah anak-anak saya yang lain.
"Malangnya, anak saya merangkak keluar dan kejadian itu pun tidak disedari oleh ibunya. Jiran saya ternampak dan menjerit lalu saya bergegas keluar dan melihat anak saya sudah terbaring.
"Masa itu, anak sudah senyap tapi terbatuk-batuk sedikit. Badannya juga calar-calar dan keluar darah. Lepas itu, saya terus bawa anak saya ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dirawat di bilik kecemasan," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HSNZ, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fitri, anaknya baharu pandai merangkak kira-kira sebulan yang lalu.
"Sebelum ini, kalau saya ada tekanan di tempat kerja dan sebagainya, saya balik, saya selalu peluk dan usap Muhammad Faqih. Bila dia dah tak ada lepas ni, tak taulah macam mana.
"Tapi, apa pun, kami sekeluarga terimalah (ketentuan Ilahi). Kami reda, perkara ini dah berlaku," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, dekat sini.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan