Isnin, 14 Oktober 2013

Awasi Garam Dalam Pemakanan

Tiada ulasan:
 
JADI para pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan penyedap makanan ini kerana apa jua yang tertera sodium di bahagian kandungan, bahan itu merupakan garam.

Bagi mereka yang tidak peka atau kurang prihatin dengan penyakit darah tinggi, lihatlah data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 bahawa penyakit itu lebih berisiko kepada golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas terutama warga emas.

Menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datin Dr. Chia Yook Chin, peratusan penghidap penyakit darah tinggi di negara ini juga bertambah sebanyak 30 peratus sejak 2006 dengan anggaran 4.8 juta individu menghidap penyakit itu ketika ini.

Tambah beliau, jumlah tersebut tinggi ekoran amalan gaya hidup serta budaya pemakanan yang tidak sihat.

"Jika dilihat daripada statistik terkini, sebenarnya dua per tiga daripada jumlah ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit darah tinggi.

"Apa yang lebih membimbangkan, jumlah tersebut dijangka meningkat dua kali ganda pada 2025.

"Jadi, disarankan agar setiap anggota masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dalam usaha mengetahui badan bebas daripada penyakit,"ujarnya pada sidang akhbar sempena kursus ketahanan hipertensi di Pusat Perubatan Sime Darby di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, pemeriksaan awal penting dan sekiranya seseorang itu didapati mempunyai penyakit, rawatan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa malah juga dapat mengurangkan berlakunya strok.

Hari ini dengan pelbagai teknologi canggih yang ada dan ditambah pula dengan pelbagai kajian, pelbagai rawatan juga mampu diberikan kepada pesakit.

Bukan itu sahaja, pelbagai jenis ubat juga telah dicipta dalam usaha membendung pelbagai penyakit yang 'menyerang' masyarakat hari ini.

Yook Chin turut menasihati mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi agar sentiasa mengambil ubat tepat pada masanya dan sentiasalah berkomunikasi dengan doktor masing-masing dalam usaha mengetahui tahap kesihatan dari semasa ke semasa.

Ini kerana sekiranya pesakit tidak mengambil ubat mengikut seperti yang diarahkan penyakit yang sedia ada akan menjadi bertambah teruk malahan akan merebak ke bahagian lain.

Penyakit ini akan menjadi bertambah teruk sekiranya pesakit mempunyai penyakit lain seperti kencing manis, kolestrol tinggi, dan tidak ketinggalan kepada mereka yang merokok.

Berbicara lanjut mengenai penyakit darah tinggi ini, jelas Yook Chin, sebenarnya pengambilan garam yang tinggi dalam makanan antara salah satu penyebab utama darah tinggi.

Penyebab-penyebab lain yang mampu mengundang penyakit darah tinggi ialah faktor umur, berat badan berlebihan, dan kurang senaman.

Namun apa yang pasti katanya, punca sebenar kepada penyakit darah tinggi tidak diketahui.

Dalam majlis itu juga, pasukan perubatan daripada pusat perubatan tersebut memperkenal teknologi dan kaedah terkini dalam merawat hipertensi yang digelar OneShot Renal Denervation System.

Kaedah rawatan itu telah digunakan pakai di Eropah dan Malaysia merupakan negara pertama menggunakannya di rantau ini.

Dalam pada itu, Yook Chin menyeru penggiat industri makanan terutama pengusaha restoran turut membantu menangani masalah penyakit darah tinggi ini dengan mengurangkan penggunaan garam dalam hidangan mereka.

"Sewajarnya mereka perlu ada pengetahuan mengawal penggunaan garam dalam penyediaan makanan dan menggunakan bahan perisa asli yang lebih berkhasiat tanpa menjejaskan keenakan hidangan yang disediakan.

"Pada masa yang sama, masyarakat turut diseru agar menjalani gaya hidup yang lebih sihat dengan melakukan senaman setiap hari kerana apa yang membimbangkan keadaan atau situasi hari ini (sakit) dilihat semakin teruk," katanya sebelum mengakhiri bicara. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Cakapbisa. Dikuasakan oleh Blogger.