Jumaat, 17 Februari 2017

Cara Menternak Cacing Vermicompost | Bahagian Satu

Tiada ulasan:
 

Cara ternak cacing vermicompost



Ada yang geli dengan cacing kerana kulitnya yang licin dan gerakan mengengsot yang syahdu, ada yang jijik kerana tempat dia tinggal di dalam longgokan sampah dan bahan mereput. Ada juga yang suka kerana cacing adalah makanan yang diminati oleh pelbagai jenis ikan air tawar dan juga udang galah. Saya juga pernah terbaca bahawa cacing juga boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan kecantikan, tidak mustahil kan. Begitulah si haiwan primitif ni, sungguh masyhur sehingga dikenali di seluruh dunia kerana khasiat dan kuasa memikatnya.  Impak si cacing bukan sahaja pada khasiat dan umpan tetapi cacing juga memainkan peranan yang besar  kepada bumi tidak kira dari segi alam sekitar, ekonomi dan industri pertanian. Antara peranan si cacing adalah memulihkan struktur tanah, menyuburkan tanah, baja organik, memelihara akar dan banyak lagi. 
Tahun 1930, baja kimia diperkenalkan kerana peningkatan populasi manusia, jadi baja kimia digunakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan dan mengatasi masalah kebuluran. Akan tetapi baja kimia merosakkan tanah, bermacam penyakit juga mula wujud. Baja telah menjejaskan taraf kesihatan manusia. Sehinggalah pada tahun 1980, kesedaran individu terhadap impak negatif baja kimia mula meningkat. Individu – individu ini mula membentuk kelompok prihatin seterusnya menjadi satu komuniti kuat yang mengamalkan pertanian organik. Akhirnya amalan pertanian organik mula berkembang semula dan semakin mendapat tempat di hati manusia di seluruh dunia. Baja vermicompost juga semakin dikenali dan cacing pun mula dihargai.





Dahulu bagi saya cacing hanyalah haiwan ringkas yang tidak bermata, nilainya cuma sebagai pemikat ikan kolam dan sungai. Tetapi sejak saya mula mendapat kesedaran untuk hidup lebih sihat dan banyak membaca tentang "sustainable agriculture" maka, dengan takdir tuhan saya diperkenalkan dengan vermicompost dan disinilah saya mula memahami peranan besar cacing demi menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama memenuhi keperluan makanan saya malahan, lebihan baja saya akan dijual kepada sahabat tani disekitar  kawasan saya. Jadi dihari yang indah ini, saya ingin kongsikan ilmu dan pengalaman saya yang sedikit ini kepada sahabat sekalian dalam "bagaimana 
cara menternak cacing vermicompost".


Apa yang kita perlukan: Cara menternak cacing vermicompost?

Dibawah adalah senarai yang anda perlukan untuk memulakan penternakan cacing:

1. Cacing


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture

Kita boleh ternak apa sahaja jenis cacing kompos seperti african nightcrawler, blue worm, tiger worm, red wiggler dan banyak lagi. Saya tidak begitu menyarankan sahabat tani sekalian untuk menternak cacing tanah kerana cacing tanah kurang sesuai untuk hidup dalam kawasan bersampah atau bahan organik. Cacing tanah juga kurang efektif untuk memproses bahan mereput atau bahan organik maka, hasil baja atau casting pun kurang. Cacing tanah juga cepat terkena serangan "protein poisoning" yang mana boleh membunuh mereka, ini kerana cacing tanah tidak biasa tinggal dikawasan yang terdapat lambakan bahan organik atau bahan Nitrogen. Cacing tanah agak sensitif dengan kawasan berasid.
 Saya pernah menternak tiga jenis cacing iaitu cacing tanah, cacing rok/rock (cacing umpan di Sabah) dan cacing african nightcrawler dan hasil dari pengalaman saya bersama mereka menunjukkan bahawa cacing african nightcrawler mempunyai daya tahan yang tinggi, aktif dan rakus. Cacing african nightcrawler adalah terbaik untuk kawasan tropika dan saya sangat sarankan cacing african nightcrawler sebagai cacing vermicompost.



Untuk info tambahan mengenai cacing african nightcrawler, sahabat tani boleh klik pautan dibawah.(jangan risau, saya bukan jual ebook. Ini pos saya sebelum ini)


down arrow, red arrow







2. Bahan untuk bedding


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding


 

Bedding atau medium adalah tempat untuk cacing tinggal, membiak, tempat berlindung dan makan. Bedding ibarat tanah bagi cacing tanah tapi untuk cacing kompos; kita gunakan bahan organik.

Bahan yang  digunakan untuk membuat bedding adalah bahan yang dipanggil bahan karbon seperti kadbod, kertas, kotak, tray telur, surat khabar, kompos, daun - daun tua, najis haiwan (kuda, kerbau, lembu atau kambing atau arnab), peat moss, batang pisang kisar, sabut kelapa, habuk kayu, habuk padi. Yang penting pH neutral, boleh mengekalkan kelembaban, pengudaraan yang baik dan terhindar dari bahan kimia yang boleh membunuh cacing. 

Saya sudah mencuba pelbagai jenis kombinasi bedding dan setakat ini tiada masalah selagi kita menjaga kelembaban bedding, pH bedding dan pengudaraan. Ini adalah kali ketiga saya menuai baja vermicompost saya, Alhamdulillah.

Kombinasi bedding saya yang pertama ialah kadbod, dedaun, sedikit tanah liat, surat khabar, sebuah buku yellowpages, dan batang pisang. Selepas beberapa ketika, bedding saya sudah berkurang sebanyak 50%, saya telah sediakan bedding kedua sebulan lebih awal. Selang sebulan, bedding saya sudah berkurang sebanyak 50%. Saya telah sediakan bedding kedua sebulan lebih awal dan saya campurkan sekali bedding kedua ke dalam bedding pertama.

Bedding kedua
 saya terdiri dari kadbod, surat khabar, tray telur, serbuk kopi terpakai (1 kilo), 5 kilo sisa buangan sayur yang saya dapatkan dari pasar sayur Kota Kinabalu, dedaun, sedikit tanah diayak dan cengkerang telur (20 - 30 biji) dan arang bakau. Saya memeram bedding ini lebih kurang sebulan kerana saya ingin meneutralkan pH kopi dan membiarkan thrmophilic microb atau mikroorganisma termopilik (mikrob yang menguraikan atau mengompos bahan mereput / organik. Microb termopilik  menghasilkan haba ketika menguraikan bahan organik dan ini boleh membunuh cacing. 

Bedding ketiga
 saya sama seperti bedding kedua saya bezanya ialah tiada sisa serbuk kopi saya masukkan dan lebih banyak tanah saya campurkan. Bedding saya terperam selama tiga bulan kerana saya tidak sabar untuk mencuba bedding keempat saya, bedding ketiga ditangguhkan dan bedding keempat didahulukan

Resepi bedding keempat
 saya adalah kombinasi enapan dari kawasan paya berhampiran rumah saya dan diaduk dengan kadbod. Kenapa saya tertarik dengan enapan ini adalah kerana saya berfikir bahawa enapan ini ialah kompos ribuan tahun yang tersimpan di hutan itu sehinggahlah paya itu dikorek, pokok ditebang dan diratakan bagi infrastruktur perumahan. Enapan berwarna hitam itu ringan dan terapung diatas air, jadi saya berfikir ini bukanlah tanah tetapi kompos. Selepas sebulan lebih, cacing selesa dengan bedding enapan itu, saya tidak mendapat sebarang  "complain", cemuhan atau signal tidak selesa daripada rakyat cacing, agak bagus! 

Akhir sekali, bedding yang sedang didiami oleh cacing sekarang ini adalah bedding saya yang ketiga dan Alhamdulillah mereka selesa.


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding
bedding pertama
Bedding hendaklah setiasa dipantau; pengudaraan, pH dan kelembaban adalah aspek yang amat penting. Saya akan mengulas tiga aspek ini dengan lebih panjang pada pos yang seterusnya. Walaupun saya menerangkan makanan dan bedding dalam bab yang berasingan tetapi hakikatnya cacing juga menjadikan bedding sebagai makanan mereka akan tetapi bedding tidaklah kaya dengan nutrient jika dibandingkan dengan makanan dari sayur dan buah yang mereput. Bedding ialah sumber karbon dan makanan atau bahan organik mereput adalah sumber nitrogen dan beberapa unsur lain yang bagus untuk pertumbuhan cacing juga  menghasilkan baja yang berkualiti. 




3. Makanan

Makanan cacing dipanggil bahan mereput atau bahan organik. Makanan cacing ialah bahan yang kaya dengan nitrogen. Bahan organik adalah seperti sayuran atau buah - buahan yang sedang melalui proses reputan. Contoh bahan organik ialah kulit tembikai, kulit betik, kulit pisang, sayuran. Elakan buah masam atau asidik, pedas seperti cili, daging & lemak atau makanan terdapat gula kerana akan menarik perhatian haiwan lain yang boleh menganggu ketenteraman kita dan juga cacing. Nasi, pasta atau roti boleh diberikan dalam kuantiti yang kecil, jangan terlebih kerana boleh menghasilkan asid.


4. Bekas

Untuk skala kecil atau skala belakang rumah seperti saya, saya hanya memerlukan bekas plastik dan polystyrene. Untuk skala lebih besar, saya akan bincangkan lebih terperinci pada pos lain. 

Saya akan biarkan bekas saya tanpa penutup bagi mengelakkan masalah tidak cukup pengudaraan, cuma lampu kenalah sentiasa dipasangkan kerana cacing tidak suka dengan kawasan terang, cacing akan cuba untuk mengelak dari cahaya dengan masuk ke dalam bedding secepat mungkin. Bila tidak dipasangkan lampu, cacing african nightcrawler suka merayap keluar lebih – lebih lagi selepas hari hujan. Cuma bila menggunakan kaedah saya ini, kelembaban bedding harus dipantau dengan lebih kerap kerana amalan membuka penutup bekas akan menyebabkan bedding akan lebih cepat kering dan ini boleh membahayakan cacing. Sesetengah penternak menebuk lubang di dasar bekas untuk mengalirkan air lebihan bedding atau leachate. Saya tidak menebuk lubang kerana bin saya tidak berpenutup. Air cepat tersejat ke udara dan bedding saya cepat kering kalau saya menebuk lubang pada dasar bin atau bekas. 

5. Air

Air sangat penting kerana cacing memerlukan keadaan yang sentiasa lembab untuk memudahkan mereka bergerak dan bernafas. Air juga diaplikasikan ke atas bedding sebagai regulator suhu agar cacing sentiasa dalam keadaan sihat dan dapat menghasilkan baja di tahap yang optimum. Kajian menunjukkan pertumbuhan dan tahap pembiakan cacing akan mula menurun jika suhu mula melebihi 30⁰C dan kurang dari 20⁰c. Kita perlu membuat semburan harian keatas bedding. Semburan air juga bergantung pada cuaca, semburan perlu ditingkatkan pada hari kering dan panas. Semburan air dikurangkan pada cuaca hujan dan sejuk. Selain semburan air, air juga diperolehi dari makanan cacing. Jadi, sila pantau bedding anda sebelum spray. 


Air juga diperlukan untuk mengaduk bedding buat kali pertama. Gambar di kanan ialah campuran kertas, kadbod dan tray telur. Rendamkan campuran bedding tadi dan biarkan seketika agar air meresap ke seluruh permukaan kertas. Selepas itu toskan dan perah. campurkan dengan bahan organik dan biarkan selama tiga hari dan keatas bagi mengelakkan haba dari bakteria thermophilik.  Cara memerhatikan tahap kelembaban bedding adalah dengan mengambil sedikit bedding dan perahkan, kalau ada titisan air dalam 2-4 titik, itu adalah kelembaban optimum untuk cacing.  


6. Sedikit tanah


Kenapa saya tambah sedikit tanah? Kerana tanah menambahkan unsur surih pada baja dan membantu cacing untuk mencerna makanan.

 

7. Cengkerang telur/ limestone/ abu

Saya gunakan cengkerang telur untuk meneutralkan pH bedding. pH optimum untuk ternakan cacing ialah 6 - 8 tetapi paling bagus ialah 7 (neutral).  Terlebih memberi makan adalah salah satu faktor yang menyebabkan sourcrop atau bedding menjadi asidik. Bedding asidik akan memudaratkan cacing malah boleh membunuh cacing. Jangan pandang ringan dengan sourcrop kerana sourcrop boleh menyebabkan keracunan protein dan penyakit ini boleh membunuh ramai cacing seperti wabak kolera. Cara untuk mengaplikasikan cengkerang telur ialah dengan menumbuk halus cengkerang telur dengan lesung batu, tabur rata diatas bedding lalu spray-kan air. Selepas itu, terbalikkan bedding secara beransur -ansur dan perlahan - lahan. Taburkan secara berkala  dari semasa ke semasa sehingga cacing kelihatan selesa ataupun tiada cacing yang cuba mengengsot keluar. 


sourcrop, protein poisoning,african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding
cacing terkena keracunan protein disebabkan pH rendah


8. Arang

Fungsinya hampir sama dengan tanah, membantu pencernaan cacing, menambahkan unsur karbon serta meningkatkan kadar pembiakan mikrobial aktif (active microbial) atau bakteria baik yang hidup bersama cacing, membantu cacing mencernakan bahan organik menjadi baja yang berharga. Mikrobial aktif membantu cacing mencernakan bahan organik menjadi baja (casting) yang berharga. Mikrobial aktif juga akan tinggal dalam baja vermicompost, mikrobial membantu untuk menyubur dan melindungi tanaman daripada penyakit.




Saya rasa cukup untuk setakat in. Saya telah pun menerangkan tentang apa yang kita perlukan untuk menjadi penternak cacing vermicompost. Di bahagian kedua iaitu cara menternak cacing vermicompost | Bahagian kedua, saya akan menceritakan tentang proses - proses yang terlibat dalam penternakan cacing dari dengan lebih terperinci. 

Terima Kasih kerana membaca sehingga habis. Jika ada kekurangan, komen dan pertanyaan. Komen anda sangat dialu -alukan, sekurang - kurangnya ada orang membaca sehingga habis. 




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Cakapbisa. Dikuasakan oleh Blogger.