Jumaat, 22 September 2017

Setahun: cabaran yang saya hadapi dalam dunia vermicompost



Rasanya sudah setahun saya menternak cacing untuk vermicompost. Setakat ini saya masih belum menjual hasil tuaian saya sebab saya masih belum bersedia, vermicompost yang saya hasilkan saya gunakan sendiri di ladang kecil saya.

Bulan ini (September) adalah bulan menuai saya untuk kali ke-4, secara purata saya menuainya tiga bulan sekali.  Banyak cabaran yang saya hadapi dalam setahun saya menternak cacing. Dan syukur saya dapat mengenalpasti setiap masalah dan menangani dengan baik. Jadi saya akan ceritakan cabaran yang saya hadapi harap pembaca dapat sedikit input yang membina dari kesilapan dan masalah hadapi.


Cabaran yang saya hadapi dalam dunia vermicompost: pertama



Pada tuaian ketiga, saya agak sibuk dengan kerja dan kurang mengambil perhatian kepada cacing saya sehingga saya sedari koloni cacing saya berada dalam keadaan kritikal. Kadar pembiakan cacing saya merundum dan cacing – cacing gemuk dan sihat tidak kelihatan lagi. Saya menjadi risau, jadi saya bertindak untuk mengelak perkara ini dari terus berlaku. Langkah pertama saya ialah memindahkan semua cacing kepada bedding baru. Saya membuat bedding express iaitu dengan kompos tahi arnab dan tumbuh – tumbuhan mati yang lama sudah saya simpan dalam tong polystyrene dicampur dangan kertas. Saya membuat pemerhatian dalam masa seminggu, Alhamdulillah cacing hidup sihat dalam bedding baru. Satu yang membawa perubahan besar dalam dunia ternakan cacing saya ialah tahi arnab, tahi arnab memang “superb”. Saya boleh menarik nafas lega, dalam kelapangan saya membuat pelan tindakan agar perkara ini tidak akan berlaku lagi. memandangkan cacing saya semakin bertambah, saya mengambil keputusan untuk menuainya setiap dua bulan. Ini standard durasi yang saya tetapkan tetapi saya masih menilai dari pelbagai sudut dan aspek sebelum saya menuainya. Saya akan tulis di post lain.


Cabaran yang saya hadapi dalam dunia vermicompost: kedua


Menduga diri saya untuk menuai vermicompost saya. Sehingga pada satu tahap saya sungguh menyampah bila tiba masa menuai. Tapi selepas saya datang dengan cara yang lagi efektif untuk menuai maka semua menjadi mudah. Sebelum ini saya memakai pengayak 1cmx1cm dan cuma size pengayak itu Cuma sebesar pinggan, memang menyampah kerana mengabil masa berminggu – minggu untuk mengayak. Akhirnya saya membeli jaring mata pasir dan membuat ayakan bersaiz 2 kaki x 4 kaki dan semua menjadi mudah malah rasa menyampah itu semakin berkurangan. Peringatan, perasaan menyampah bukan sifat murni dalam dunia pertanian sebab ini boleh menghampiri rasa putus asa.


Cabaran yang saya hadapi dalam dunia vermicompost: ketiga

Saya kekurangan ruang. Maklumlah tinggal di rumah teres, rumah sewa pula tu. Jadi saya bercadabg pada masa hadapan dengan menambah tong untuk cacing saya. Masalah ini belum saya selesaikan cuma saya masih dalam perancangan untuk membeli plastic rack.


Cabaran yang saya hadapi dalam dunia vermicompost: keempat

Cacing melarikan diri. Ini memang pernah terjadi kepada saya tetapi jarang – jarang. Iya berlaku masa saya masih baru berkecimpung dengan dunia vermicompos. Cacing memanjat keluar dari box, ini disebabkan oleh beberapa sebab antaranya:

               a. oksigen kurang – menyebabkan bedding dijajah oleh bakteria anaerob menjadikan                                bedding berasid dan boleh menyebabkan keracunan protein.

               b. Panas, suhu yang tinggi membuatkan cacing memanjat keluar.

               c. Dan yang terakhir tiada makanan. bila cacing lapar, dia perlu menyara dirinya dengan                          berfikir di luar kotak.




Khamis, 21 September 2017

Bahasa dan bangsa bajau samah:  masa depan bahasa kita dan perjalananya


usbo, bajau samah, persatuan bajau bersatu sabah, sabah, malaysia

Untuk tulisan kali ini tiada sebarang "construct", draf dan perancangan. ini adalah "Pop" kepala saya. saya memang sering kali terfikir tentang banyak hal tentang bahasa dan bangsa bajau.



1. Kerisauan saya tentang akan hilangnya bahasa bajau samah di bumi sabah ini. adakah kita menyayangi lebih menyayangi bangsa atau bahasa? dan mana satu parioritinya?

2. Pernah kadang satu masa saya berfikir, jikalau bahasa bajau ini menjadi bahasa penghantar negeri. adakah kita patut mewujudkan bahasa bajau yang moden dan futuristik?

3. Kita ada golongan ada individu yang boleh digelar ahli sasterawan bajau samah? lebih spesifik, dalam karya penulisan syair, sajak, pantun atau karya penulisan yang lain.

4. Adakah bahasa bajau samah yang kita tuturkan sekarang ini sebagai bahasa moden? jika ya, masih adakah bahasa bajau samah lama klasik?

5. Dan untuk kesekian perkataan (bahasa melayu) yang kita pinjam untuk dimuatkan di dalam pertuturan harian kita? adakah dia benar - benar tiada digunapakai dalam bangsa kita atau perkatan itu hilang ditelan oleh asimilasi bahasa

baju tradisi bajau samah, bajau samah, perempuan bajau, gadis bajau, dendo bajau samah. pbss, usbo, sabah, malayisa
Photo taken by Suziana  (During the Launching of Sabah Bajau Sama Association (PBSS) Culture Centre Tuaran – 23 Mei 2017

Bahasa dan bangsa bajau samah: masa depan bahasa kita dan perjalananya

Mungkin ini boleh dijadikan sebahagian dari matlamat perjalanan hidup kita. Adakah selepas seratus tahun, kita masih mendengar bahasa bajau samah dituturkan. Bajau samah dan perjalanaanya. Ataupun selepas seratus tahun bangsa bajau samah ini cuma tinggal sebagai lambang di surat beranak dan bagaimana kita boleh memartabatkan bangsa bajau samah.


Jika pembaca sekalian ada jawapan kepada segala persoalan saya diatas, saya amat mengalu - alukan pembaca untuk mengomen agar saya tidak rasa keseorangan memikirkan masa depan bangsa kita. Sila komen dan share. Terima kasih kerana membaca


Ahad, 19 Februari 2017

"Mikrob bahaya pada tahi kucing yang wajib anda tahu. Jauhi kucing semasa mengandung dan elakkan kucing dari bayi anda!"
Taxoplasma gondii
Taxoplasma gondii : Parasit Tahi Kucing


     Saya memang tidak menafikan bahawa kucing memang comel. Kucing  juga haiwan yang tangkas dan berdasarkan kepercayaan karut, kucing mempunyai sembilan nyawa. Kehebatan si kucing menangkap tikus bukan sahaja disebabkan ketangkasan, ketepatan, kekuatan, kecepatan dan derianya yang tajam tetapi juga disebabkan tahi kucing. 

Tahi Kucing???  Nah hari ini saya akan bercerita tentang Mikrob bahaya pada tahi kucing yang wajib anda tahu!!

cat, kucing, rat, tikus, toxoplasma gondii, t. gondii, protozoa
Gambar Hiasan
Copyright:science daily

Tahi kucing iyalah kediaman kepada sejenis protozoa yang dinamakan Toxoplasma gondii. Parasit ini menjadikan perut kucing sebagai hos atau perumah. Apabila kucing berak atau menyahtinja, parasit tersebut akan turut dinyahkan. Kemudian bila ada tikus yang makan tahi kucing itu, parasit itu akan menyerang otak tikus dan membuatkan tikus tersebut kurang takut kepada kucing malah minat untuk menghampiri kucing. Selepas itu, kucing pun makan tikus dan begitulah kitaran kehidupan parasit ini. T. gondii akan meneruskan kitaranya diantara kucing dan tikus. 


     Parasit ini merbahaya kepada manusia kerana boleh menyebabkan sakit serius malah boleh mengundang kematian. Ibu mengandung, penghidap aids dan orang sakit berisiko tinggi untuk diserang oleh parasit ini. Contoh penyakit adalah kerosakan otak pada bayi yang dikandung. Untuk orang dewasa pula, ia membuatkan otak kita menjadi kurang respon atau slow respond. Ada kajian mengatakan bahawa pemilik kucing akan menjadi terencat dalam jangka masa panjang. Allah saja yang tahu.  

      Saya  selalu terfikir pembela kucing, kalau kita perasan mereka selalu dalam keadaan tenang dan tenteram adakah mereka sudah dijangkiti? Tidak pasti la kalau pemikiran saya suda bias disebabkan T. gondii.

     Adakah anda pembela kucing? adakah anda setuju dengan pendapat saya bahawa mereka sudah diserang T. gondii? komen dibawah. kongsikan pengalaman anda sebagai pembela kucing dan mungkin pembela (T. gondii)




   

Jumaat, 17 Februari 2017

Cara ternak cacing vermicompost



Ada yang geli dengan cacing kerana kulitnya yang licin dan gerakan mengengsot yang syahdu, ada yang jijik kerana tempat dia tinggal di dalam longgokan sampah dan bahan mereput. Ada juga yang suka kerana cacing adalah makanan yang diminati oleh pelbagai jenis ikan air tawar dan juga udang galah. Saya juga pernah terbaca bahawa cacing juga boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan kecantikan, tidak mustahil kan. Begitulah si haiwan primitif ni, sungguh masyhur sehingga dikenali di seluruh dunia kerana khasiat dan kuasa memikatnya.  Impak si cacing bukan sahaja pada khasiat dan umpan tetapi cacing juga memainkan peranan yang besar  kepada bumi tidak kira dari segi alam sekitar, ekonomi dan industri pertanian. Antara peranan si cacing adalah memulihkan struktur tanah, menyuburkan tanah, baja organik, memelihara akar dan banyak lagi. 
Tahun 1930, baja kimia diperkenalkan kerana peningkatan populasi manusia, jadi baja kimia digunakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan dan mengatasi masalah kebuluran. Akan tetapi baja kimia merosakkan tanah, bermacam penyakit juga mula wujud. Baja telah menjejaskan taraf kesihatan manusia. Sehinggalah pada tahun 1980, kesedaran individu terhadap impak negatif baja kimia mula meningkat. Individu – individu ini mula membentuk kelompok prihatin seterusnya menjadi satu komuniti kuat yang mengamalkan pertanian organik. Akhirnya amalan pertanian organik mula berkembang semula dan semakin mendapat tempat di hati manusia di seluruh dunia. Baja vermicompost juga semakin dikenali dan cacing pun mula dihargai.





Dahulu bagi saya cacing hanyalah haiwan ringkas yang tidak bermata, nilainya cuma sebagai pemikat ikan kolam dan sungai. Tetapi sejak saya mula mendapat kesedaran untuk hidup lebih sihat dan banyak membaca tentang "sustainable agriculture" maka, dengan takdir tuhan saya diperkenalkan dengan vermicompost dan disinilah saya mula memahami peranan besar cacing demi menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama memenuhi keperluan makanan saya malahan, lebihan baja saya akan dijual kepada sahabat tani disekitar  kawasan saya. Jadi dihari yang indah ini, saya ingin kongsikan ilmu dan pengalaman saya yang sedikit ini kepada sahabat sekalian dalam "bagaimana 
cara menternak cacing vermicompost".


Apa yang kita perlukan: Cara menternak cacing vermicompost?

Dibawah adalah senarai yang anda perlukan untuk memulakan penternakan cacing:

1. Cacing


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture

Kita boleh ternak apa sahaja jenis cacing kompos seperti african nightcrawler, blue worm, tiger worm, red wiggler dan banyak lagi. Saya tidak begitu menyarankan sahabat tani sekalian untuk menternak cacing tanah kerana cacing tanah kurang sesuai untuk hidup dalam kawasan bersampah atau bahan organik. Cacing tanah juga kurang efektif untuk memproses bahan mereput atau bahan organik maka, hasil baja atau casting pun kurang. Cacing tanah juga cepat terkena serangan "protein poisoning" yang mana boleh membunuh mereka, ini kerana cacing tanah tidak biasa tinggal dikawasan yang terdapat lambakan bahan organik atau bahan Nitrogen. Cacing tanah agak sensitif dengan kawasan berasid.
 Saya pernah menternak tiga jenis cacing iaitu cacing tanah, cacing rok/rock (cacing umpan di Sabah) dan cacing african nightcrawler dan hasil dari pengalaman saya bersama mereka menunjukkan bahawa cacing african nightcrawler mempunyai daya tahan yang tinggi, aktif dan rakus. Cacing african nightcrawler adalah terbaik untuk kawasan tropika dan saya sangat sarankan cacing african nightcrawler sebagai cacing vermicompost.



Untuk info tambahan mengenai cacing african nightcrawler, sahabat tani boleh klik pautan dibawah.(jangan risau, saya bukan jual ebook. Ini pos saya sebelum ini)


down arrow, red arrow







2. Bahan untuk bedding


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding


 

Bedding atau medium adalah tempat untuk cacing tinggal, membiak, tempat berlindung dan makan. Bedding ibarat tanah bagi cacing tanah tapi untuk cacing kompos; kita gunakan bahan organik.

Bahan yang  digunakan untuk membuat bedding adalah bahan yang dipanggil bahan karbon seperti kadbod, kertas, kotak, tray telur, surat khabar, kompos, daun - daun tua, najis haiwan (kuda, kerbau, lembu atau kambing atau arnab), peat moss, batang pisang kisar, sabut kelapa, habuk kayu, habuk padi. Yang penting pH neutral, boleh mengekalkan kelembaban, pengudaraan yang baik dan terhindar dari bahan kimia yang boleh membunuh cacing. 

Saya sudah mencuba pelbagai jenis kombinasi bedding dan setakat ini tiada masalah selagi kita menjaga kelembaban bedding, pH bedding dan pengudaraan. Ini adalah kali ketiga saya menuai baja vermicompost saya, Alhamdulillah.

Kombinasi bedding saya yang pertama ialah kadbod, dedaun, sedikit tanah liat, surat khabar, sebuah buku yellowpages, dan batang pisang. Selepas beberapa ketika, bedding saya sudah berkurang sebanyak 50%, saya telah sediakan bedding kedua sebulan lebih awal. Selang sebulan, bedding saya sudah berkurang sebanyak 50%. Saya telah sediakan bedding kedua sebulan lebih awal dan saya campurkan sekali bedding kedua ke dalam bedding pertama.

Bedding kedua
 saya terdiri dari kadbod, surat khabar, tray telur, serbuk kopi terpakai (1 kilo), 5 kilo sisa buangan sayur yang saya dapatkan dari pasar sayur Kota Kinabalu, dedaun, sedikit tanah diayak dan cengkerang telur (20 - 30 biji) dan arang bakau. Saya memeram bedding ini lebih kurang sebulan kerana saya ingin meneutralkan pH kopi dan membiarkan thrmophilic microb atau mikroorganisma termopilik (mikrob yang menguraikan atau mengompos bahan mereput / organik. Microb termopilik  menghasilkan haba ketika menguraikan bahan organik dan ini boleh membunuh cacing. 

Bedding ketiga
 saya sama seperti bedding kedua saya bezanya ialah tiada sisa serbuk kopi saya masukkan dan lebih banyak tanah saya campurkan. Bedding saya terperam selama tiga bulan kerana saya tidak sabar untuk mencuba bedding keempat saya, bedding ketiga ditangguhkan dan bedding keempat didahulukan

Resepi bedding keempat
 saya adalah kombinasi enapan dari kawasan paya berhampiran rumah saya dan diaduk dengan kadbod. Kenapa saya tertarik dengan enapan ini adalah kerana saya berfikir bahawa enapan ini ialah kompos ribuan tahun yang tersimpan di hutan itu sehinggahlah paya itu dikorek, pokok ditebang dan diratakan bagi infrastruktur perumahan. Enapan berwarna hitam itu ringan dan terapung diatas air, jadi saya berfikir ini bukanlah tanah tetapi kompos. Selepas sebulan lebih, cacing selesa dengan bedding enapan itu, saya tidak mendapat sebarang  "complain", cemuhan atau signal tidak selesa daripada rakyat cacing, agak bagus! 

Akhir sekali, bedding yang sedang didiami oleh cacing sekarang ini adalah bedding saya yang ketiga dan Alhamdulillah mereka selesa.


african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding
bedding pertama
Bedding hendaklah setiasa dipantau; pengudaraan, pH dan kelembaban adalah aspek yang amat penting. Saya akan mengulas tiga aspek ini dengan lebih panjang pada pos yang seterusnya. Walaupun saya menerangkan makanan dan bedding dalam bab yang berasingan tetapi hakikatnya cacing juga menjadikan bedding sebagai makanan mereka akan tetapi bedding tidaklah kaya dengan nutrient jika dibandingkan dengan makanan dari sayur dan buah yang mereput. Bedding ialah sumber karbon dan makanan atau bahan organik mereput adalah sumber nitrogen dan beberapa unsur lain yang bagus untuk pertumbuhan cacing juga  menghasilkan baja yang berkualiti. 




3. Makanan

Makanan cacing dipanggil bahan mereput atau bahan organik. Makanan cacing ialah bahan yang kaya dengan nitrogen. Bahan organik adalah seperti sayuran atau buah - buahan yang sedang melalui proses reputan. Contoh bahan organik ialah kulit tembikai, kulit betik, kulit pisang, sayuran. Elakan buah masam atau asidik, pedas seperti cili, daging & lemak atau makanan terdapat gula kerana akan menarik perhatian haiwan lain yang boleh menganggu ketenteraman kita dan juga cacing. Nasi, pasta atau roti boleh diberikan dalam kuantiti yang kecil, jangan terlebih kerana boleh menghasilkan asid.


4. Bekas

Untuk skala kecil atau skala belakang rumah seperti saya, saya hanya memerlukan bekas plastik dan polystyrene. Untuk skala lebih besar, saya akan bincangkan lebih terperinci pada pos lain. 

Saya akan biarkan bekas saya tanpa penutup bagi mengelakkan masalah tidak cukup pengudaraan, cuma lampu kenalah sentiasa dipasangkan kerana cacing tidak suka dengan kawasan terang, cacing akan cuba untuk mengelak dari cahaya dengan masuk ke dalam bedding secepat mungkin. Bila tidak dipasangkan lampu, cacing african nightcrawler suka merayap keluar lebih – lebih lagi selepas hari hujan. Cuma bila menggunakan kaedah saya ini, kelembaban bedding harus dipantau dengan lebih kerap kerana amalan membuka penutup bekas akan menyebabkan bedding akan lebih cepat kering dan ini boleh membahayakan cacing. Sesetengah penternak menebuk lubang di dasar bekas untuk mengalirkan air lebihan bedding atau leachate. Saya tidak menebuk lubang kerana bin saya tidak berpenutup. Air cepat tersejat ke udara dan bedding saya cepat kering kalau saya menebuk lubang pada dasar bin atau bekas. 

5. Air

Air sangat penting kerana cacing memerlukan keadaan yang sentiasa lembab untuk memudahkan mereka bergerak dan bernafas. Air juga diaplikasikan ke atas bedding sebagai regulator suhu agar cacing sentiasa dalam keadaan sihat dan dapat menghasilkan baja di tahap yang optimum. Kajian menunjukkan pertumbuhan dan tahap pembiakan cacing akan mula menurun jika suhu mula melebihi 30⁰C dan kurang dari 20⁰c. Kita perlu membuat semburan harian keatas bedding. Semburan air juga bergantung pada cuaca, semburan perlu ditingkatkan pada hari kering dan panas. Semburan air dikurangkan pada cuaca hujan dan sejuk. Selain semburan air, air juga diperolehi dari makanan cacing. Jadi, sila pantau bedding anda sebelum spray. 


Air juga diperlukan untuk mengaduk bedding buat kali pertama. Gambar di kanan ialah campuran kertas, kadbod dan tray telur. Rendamkan campuran bedding tadi dan biarkan seketika agar air meresap ke seluruh permukaan kertas. Selepas itu toskan dan perah. campurkan dengan bahan organik dan biarkan selama tiga hari dan keatas bagi mengelakkan haba dari bakteria thermophilik.  Cara memerhatikan tahap kelembaban bedding adalah dengan mengambil sedikit bedding dan perahkan, kalau ada titisan air dalam 2-4 titik, itu adalah kelembaban optimum untuk cacing.  


6. Sedikit tanah


Kenapa saya tambah sedikit tanah? Kerana tanah menambahkan unsur surih pada baja dan membantu cacing untuk mencerna makanan.

 

7. Cengkerang telur/ limestone/ abu

Saya gunakan cengkerang telur untuk meneutralkan pH bedding. pH optimum untuk ternakan cacing ialah 6 - 8 tetapi paling bagus ialah 7 (neutral).  Terlebih memberi makan adalah salah satu faktor yang menyebabkan sourcrop atau bedding menjadi asidik. Bedding asidik akan memudaratkan cacing malah boleh membunuh cacing. Jangan pandang ringan dengan sourcrop kerana sourcrop boleh menyebabkan keracunan protein dan penyakit ini boleh membunuh ramai cacing seperti wabak kolera. Cara untuk mengaplikasikan cengkerang telur ialah dengan menumbuk halus cengkerang telur dengan lesung batu, tabur rata diatas bedding lalu spray-kan air. Selepas itu, terbalikkan bedding secara beransur -ansur dan perlahan - lahan. Taburkan secara berkala  dari semasa ke semasa sehingga cacing kelihatan selesa ataupun tiada cacing yang cuba mengengsot keluar. 


sourcrop, protein poisoning,african nightcrawler, cacing, kompos, compost, vermicompost, vermikompos, casting, vermiculture, vermicompost bedding, coffee bedding
cacing terkena keracunan protein disebabkan pH rendah


8. Arang

Fungsinya hampir sama dengan tanah, membantu pencernaan cacing, menambahkan unsur karbon serta meningkatkan kadar pembiakan mikrobial aktif (active microbial) atau bakteria baik yang hidup bersama cacing, membantu cacing mencernakan bahan organik menjadi baja yang berharga. Mikrobial aktif membantu cacing mencernakan bahan organik menjadi baja (casting) yang berharga. Mikrobial aktif juga akan tinggal dalam baja vermicompost, mikrobial membantu untuk menyubur dan melindungi tanaman daripada penyakit.




Saya rasa cukup untuk setakat in. Saya telah pun menerangkan tentang apa yang kita perlukan untuk menjadi penternak cacing vermicompost. Di bahagian kedua iaitu cara menternak cacing vermicompost | Bahagian kedua, saya akan menceritakan tentang proses - proses yang terlibat dalam penternakan cacing dari dengan lebih terperinci. 

Terima Kasih kerana membaca sehingga habis. Jika ada kekurangan, komen dan pertanyaan. Komen anda sangat dialu -alukan, sekurang - kurangnya ada orang membaca sehingga habis. 




Ahad, 12 Februari 2017


Mari baca dan pelajari Perbualan Harian dalam bahasa Bajau

sabah flag, bendera sabah

Assalamualaikum, di kelapangan ini saya diberikan masa untuk menaip Perbualan harian dalam bahasa bajau. Selamat membaca!

Perbualan harian ketegori kata sapaan perkenalan atau Sapaan

Apa khabar? - eyen abar?

Khabar baik, anda pula bagaimana?  - alap tek, kau eyen abar nu?

Sudah lama tidak berjumpa - Beta no kiti nia setemu

Siapa nama anda? - Sien oron nu?

Nama saya ... -  Oronku ...

Dari mana asal saudara? - jomo mingo kiti dinakan?

Saya dari ... aku laman, aku lua man

Selamat pagi - salam sensaung

Selamat tengah hari (12-2pm) - salam lengelau

Selamat petang (2-7pm) - salam kemuap

Selamat malam (after 7pm) - salam songom

Selamat menjamu selera!, Jemput makan!  !Makan makan!  - bah mangan kam

Perbualan harian | Sambungan perbualan selepas sapaan


Saya faham - paam aku

Saya tidak faham - Nia aku paam

Ya -aha'

Tidak -nia'

Boleh jadi - kalu'

Saya tidak tahu -nia' teratiku

Boleh cakap perlahan sedikit? selo tek dekiit serita nu ea

Tolong ulang sekali lagi - ulang nu lagi mentedo

Tolong ulang semula - ulang nu balik

Bolehkah anda bercakap bahasa Malaysia? ngerati kau ling bahasa Malaysia?

Bolehkah anda bercakap bahasa Melayu? ngetai kau ling melayu?

Boleh, sedikit - ngerati pan, dekiit - dekiit

Bagaimana anda cakap .... dalam bahasa Melayu? eyen maksud ni ............. ta diom bahasa melayu?

Tumpang lalu - pelimpas kami

Maafkan saya- maku maap aku, kimaap aku (tandek)

Berapa harganya ini? dangai rego ni tu?

Terima kasih - terimo kasih

Sama-sama - somo - somo

Di mana tandas? - mingo tandas aa?

Dia akan bayar semuanya. - eyo mayad/ mia ni semimon/skemon

Mahukah saudari menari dengan saya? - ingin kau menari ko aku

Aku rindu pada mu - ngintom/ ngintam aku ta kau

Saya sayang kamu - aku sayang mekau

Aku cintakan kau - aku sinta mekau

Semoga cepat sembuh - mudah - mudahan lingau kau alap/siat
Pergi dari sini! - lai kau laman mitu

Tolong! - tulung

Berhenti! - beranti

Satu bahasa tidak pernah cukup - dikau bahasa nia perna sukup


Terima kasih kerana skrol sampai bawah dan membaca habis Perbualan dalam bahasa Bajau. jika di berikan kelapangan saya akan pos lagi tentang bahasa bajau. Bahasa Jiwa Bangsa. 


Khamis, 9 Februari 2017



Kenapa saya memilih cacing African Nightcrawler sebagai cacing terbaik untuk Vermicompost?


vermicompost fertilizer, organic, african nightcrawler, worm cast, cacing kompos, tahi cacing, ternakan cacingTujuh bulan lalu, sewaktu menunggu isteri habis kerja. Aku bertapa di perpustakaan Suria Sabah untuk mencari ilham. Sejurus masuk ke perpustakaan, tanganku terus hinggap ke majalah umpan, menelaah dan cuba mendapatkan ilham dari sifoo dan masta pemancing Malaysia. Masa masih panjang tetapi majalah sudah habis aku  baca, jadi aku bercadang untuk melihat buku – buku pertanian. Untuk pengetahuan sahabat sekalian, minat ku terhadap pertanian pada masa itu masih belum tumbuh. Sedang aku membelek – belek memilih buku apa yang hendak dibaca, aku tertarik dengan  buku bonsai dan buku menternak cacing dan disinilah benih minat ku dengan cacing kompos terbit.


Selesai membaca, aku terus cari cacing dilaman sesawang Mudah.my dan aku terjumpa penternak cacing yang menjual African Nightcrawler. Aku terus menghubungi peternak tersebut dan membeli 100g/RM30.00. Aku tidak mampu untuk membeli dalam kuantiti yang banyak kerana bagi ku sekilo cacing itu sangat mahal, sekilo RM250, wow!

cacing african nightcrawler, cacing kompos, vermicompost, vermikompos, worm cast, worm bedding, worm poop, organic, compost, vermicompost, agriculture
Cacing African Nightcrawler


Aku memilih cacing african nightcrawler kerana aku tiada pilihan kerana cacing jenis itu sahaja yang dijual di Sabah pada masa itu. Walaupun begitu, cacing African Nightcrawler adalah cacing kompos terbaik,  terbaik dan memang kaw-kaw terbaik. Ini berdasarkan pengalaman aku menternak mereka dan sepanjang aku membuat pembacaan untuk memahami cara hidup cacing khususnya cacing African Nightcrawler.

Pengalaman: Kenapa cacing african nightcrawler terbaik untuk vermicompost?


-    Cacing african nightcrawler terbaik untuk vermicompost kerana cacing African Nightcrawler tahan tukul & tahan banting, mereka boleh hidup dalam bedding yang mempunyai tahap kelembaban yang melebihi 90% dan bedding yang aku rasa agak kering (rasa ikut hati) 

-       Kadar pembiakan yang tinggi

-      Cacing african nightcrawler  makan dengan banyak untuk menghasilkan tenaga. Tidak hairanlah cacing african nightcrawler adalah cacing nombor satu di kalangan cacing kompos. 

-        Tahan dengan “sourcrop”, bacaan pH rendah atau bedding berasid

- Saiznya yang besar dan lebih panjang berbanding cacing kompos yang lain. Selain baja, cacing african nightcrawler juga sesuai dijadikan umpan.

Pembacaan: Kenapa cacing african nightcrawler terbaik untuk vermicompost?


worm cocoon, cacing kakun, african nightcrawler cocoon, telur cacing, worm egg, organic, vermicompost, worm poop
-  Kajian menunjukkan cacing african Nightcrawler adalah cacing kompos yang paling produktif

- Cacing yang cepat matang

- Jangka hayat yang agak panjang bagi seekor cacing iaitu 1-3 tahun




- 2.7 – 5 anak per kakun/cocoon bermaksud purata anak cacing yang banyak untuk satu kakun

- Cocoon/kakun menetas dalam masa dua (2) minggu

- Pemakan yang rakus, hasil baja cepat dihasilkan.

- Sesuai dijadikan umpan memancing




Akhir kata, walaupun aku terpaksa untuk memilih Cacing African Nightcrawler sebagai cacing ternakan ku, aku tidak menyesal malah begitu bersyukur  kerana mereka adalah cacing terbaik untuk menghasilkan baja dan aku selesa dengan dorang. 

Jika ada lagi kelebihan yang tidak senaraikan, jangan segan - segan komen. Terima kasih membaca sahabat tani sekalian. Berjumpa dipos seterusnya. 


Selasa, 7 Februari 2017



Emas hitam atau vermicompost adalah baja organik kelas satu. 


vermicast, vermicompost, vermikompos, baja, casting, organic, decompose,


Tahi cacing, kasting, emas hitam, vermikultur atau humus adalah nama lain kepada baja organik vermicompost. Baja vermicompost kini semakin popular di seluruh dunia. Kesedaran manusia dengan bertanam secara organik semakin luas. Baja kimia dan racun perosak boleh membawa mudarat kepada diri kita dan juga alam sekitar. 



african nightcrawler, vermicompost, black gold, meestring, eudrilus eugeniae, vermikompos, organic, organic, worm compost, red wiggler
African Nightcrawler


Kenapa ia dinamakan vermicompost?


"verme" bermaksud cacing dan kompos bermaksud pereputan bahan organik. Jadi vermikompos boleh diterangkan sebagai tindakan cacing kompos memakan sisa organik yang kaya dengan nutrien lalu dikumuhkan atau diberakkan, dipanggil kasting. kasting atau baja tahi cacing kaya dengan nutrien dan bakteria baik (effective microorganism).

Adakah cacing tanah berbeza dengan cacing kompos? Jawapanya YA. Akan saya ulas lanjut di tulisan yang lain.

Cacing apa yang saya ternak?


Saya ternak cacing African Nightcrawler atau Eudrilus eugeniae atau nama manjanya ialah cacing afreka.

selain cacing afreka, ada beberapa lagi jenis yang boleh diternak, antaranya:

                         - Red wiggler (cacing kebangaan USA)
                         - Lumbricus testaris
                         - Perionyx excavatus (cacing kompos tropika)
                         - dan banyak lagi (akan diberi ruang pada tulisan seterusnya)


Apakah kelebihan vermicompost sebagai baja kelas satu?


1. Organik - tiada unsur kimia berbahaya dalam baja vermicompost

2. Effective microorganism atau mikroorganisma baik - mikroorganisma baik membantu menyuburkan akar dan melindungi biji benih dari mikroorganisma jahat yang bertindak sebagai parasit yang merosakkan akar.

3. Pokok menjadi lebih sihat dan subur - vermicompost kaya dengan nutrient. Vermicompost bukan saja menjaga akar tetapi juga memulihkan tanah. Tanah akan menjadi kaya dengan nutrient dan mikroorganism baik akan menjadi rumah yang terbaik untuk pokok berbanding baja kimia, hasil pokok memang akan meningkat tetapi kesihatan pokok belum terjamin. Lambat laun, tanah akan rosak kerana ammonia dan kandungan garam dalam tanah semakin meningkat dan ini  akan menyebabkan mikroorganisma baik akan mati. 

4. Membantu tanah untuk menyimpan air - baja vermicompost jika digaul dengan tanah, tanah akan dapat menampung atau menyimpan air lebih baik berbainding tanah yang tiada vermicompost. 

5. Selamat dari parasit  - antara cerita yang selalu dikaitkan dengan pertanian organik ialah penyakit dari baja organik. seperti yang kita tahu, perumah parasit salah satunya ialah najis haiwan tetapi tidak semestinya memudaratkan jika kendalikan dengan betul. salah satunya ialah dengan vermicompost. najis haiwan seperti lembu, kuda, kambing atau arnab boleh kita gunakan sebagai bedding untuk ternakan cacing. dengan melalui proses vermikultur baja yang dihasilkan adalah selamat dan terbaik

6. Slow release Nutrient -  baja kimia adalah seperti bom baja. booom! memang memberikan kandungan NPK yang tidak tertanding. Tetapi apa bila disiram atau waktu hujan nutrient akan dibawa oleh aliran air. jadi kita perlu menabur baja semula, berulang kali sehingga tanah rosak dan juga baja yang mengalir tadi akan dibawa ke sungai ini juga akan menjejaskan ekosistem sungai, membuatkan air tercemar. vermicompost pula mempunyai kelebihan iaitu nutrient dilepaskan perlahan - lahan.  vermicompost yang yang tidak mudah untuk ikut mengalir bersama air.


Memang tidak dinafikan mengapa emas hitam atau vermicompost adalah baja organik kelas satu. kelebihan baja organik bukan pada nutrient semata - mata tetapi baja organik adalah lebih kepada pemulihan tanah. Jika tanah dapat dipulihkan, generasi masa hadapan akan merasai kemanisan bertani dan berkebun. Tanpa makanan kita akan mati dan makanan tumbuh dari tanah yang sihat. 


Terima kasih kerana bersama saya. Jika ada cadangan atau pembetulan. Boleh komen. Amat di alu - alukan. Assalamualaikum. sahabat tani sekalian. 


Jumaat, 4 Mac 2016


catatan sampalau caster: 7hb Dec. 2015 (codename: Toman Sulong)

toman sabah, casting, sampalau caster


      Bagi saya toman aka giant snakehead agak asing di negeri Sabah. Toman si pemangsa ganas kini meneruskan kemandirian spesisnya dia negeri bawah bayu ini. Siapa tidak kenal dengan tarikan ganas sang toman, membuatkan sesiapa sahaja yang berentap denganya akan mengalami simptom jantung berdebar, lutut lemah, tangan berketar. 

       Ini adalah pengalaman pertama saya beradu tenaga dengan toman seberat 1.5 kg. Memang bukan sembarangan, toman gah seperti namanya. Sebelum ini saya cuma mengenali toman; tarikan, cerita kehebatan toman dari sahabat karib saya sendiri, juga seorang pemancing. 

      Aktiviti memburu toman dimulakan petang bersama sahabat saya, dzafarul. Setelah penat casting Jalak @ Haruan di ladang kelapa sawit, kami bertukar arah tujuan iaitu memburu toman. Kami menggunakan teknik bottom dan berumpankan hati ayam. Tidak dapat dinafikan, banyak toman yang mengambil nafas @ boiling sepanjang kami berada disitu.


Setting pancing yang kami gunakan: 

Saya
Rod: Shimuku PE 1.5 - 3.0
Tali: unknown brand of braided line - 40lb
Reel: Alpine 4000

Dzafarul
Rod: Relix 17lb
Tali: braided line 25lb
 Reel: Ryojin 3000


     Setting mata kail adalah ilham dari sebuah blog (mapiaofficer) yang menerangkan teknik memancing menggunakan teknik bottom. Sangat bermanfaat, terima kasih tuan blog. kami menggunakan tali steel bagi mengelakkan kekecewaan.

toman sabah, casting, sampalau caster, toman bottom
Gambar Hak Milik Mapiaofficer

     Setelah setengah jam menunggu, pancing Dzafarul disentap ganas oleh ikan, drag berbunyi stetttttttt..... Dzafarul set hook, dua kali set hook; berentap seketika tapi bukan rezeki... Ikan terlepas.
Sejam kemudian, saya perhatikan ada boiling di area balingan pancing saya. Saya terus menunggu, terus menunggu, stertttttttttttttttttt..... Akhirnya mengena!! Lawan punya lawan, tak sampai 3 minit, Toman pun naik. Jangan sesekali lambat, alamat masuk ke reba. 

toman sabah, casting, sampalau caster, toman bottom, giant snakehead
Kami meraikan toman sulong


    Ini sahaja untuk catatan kali ini, cerita toman sabah. Toman bermandiri di Sabah. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus di ruang komen. Terima kasih


toman sabah, casting, sampalau caster, toman bottom, giant snakehead
Gaya sikit!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Cakapbisa. Dikuasakan oleh Blogger.