Cara ternak cacing
vermicompost
Ada yang geli dengan
cacing kerana kulitnya yang licin dan gerakan mengengsot yang syahdu, ada yang
jijik kerana tempat dia tinggal di dalam longgokan sampah dan bahan mereput.
Ada juga yang suka kerana cacing adalah makanan yang diminati oleh pelbagai
jenis ikan air tawar dan juga udang galah. Saya juga pernah terbaca bahawa
cacing juga boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan kecantikan, tidak
mustahil kan. Begitulah si haiwan primitif ni, sungguh masyhur sehingga dikenali
di seluruh dunia kerana khasiat dan kuasa memikatnya. Impak si cacing
bukan sahaja pada khasiat dan umpan tetapi cacing juga memainkan peranan yang
besar kepada bumi tidak kira dari segi alam sekitar, ekonomi dan industri
pertanian. Antara peranan si cacing adalah memulihkan struktur tanah,
menyuburkan tanah, baja organik, memelihara akar dan banyak lagi.
Tahun 1930, baja
kimia diperkenalkan kerana peningkatan populasi manusia, jadi baja kimia
digunakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan dan mengatasi masalah
kebuluran. Akan tetapi baja kimia merosakkan tanah, bermacam penyakit juga mula
wujud. Baja telah menjejaskan taraf kesihatan manusia. Sehinggalah pada tahun
1980, kesedaran individu terhadap impak negatif baja kimia mula meningkat.
Individu – individu ini mula membentuk kelompok prihatin seterusnya menjadi
satu komuniti kuat yang mengamalkan pertanian organik. Akhirnya amalan
pertanian organik mula berkembang semula dan semakin mendapat tempat di hati
manusia di seluruh dunia. Baja vermicompost juga semakin dikenali dan cacing
pun mula dihargai.
Dahulu bagi saya cacing hanyalah haiwan ringkas yang tidak bermata, nilainya
cuma sebagai pemikat ikan kolam dan sungai. Tetapi sejak saya mula mendapat
kesedaran untuk hidup lebih sihat dan banyak membaca tentang "sustainable
agriculture" maka, dengan takdir tuhan saya diperkenalkan dengan
vermicompost dan disinilah saya mula memahami peranan besar cacing demi menjaga
alam sekitar dan pada masa yang sama memenuhi keperluan makanan saya malahan,
lebihan baja saya akan dijual kepada sahabat tani disekitar kawasan saya. Jadi
dihari yang indah ini, saya ingin kongsikan ilmu dan pengalaman saya yang
sedikit ini kepada sahabat sekalian dalam "bagaimana cara menternak cacing
vermicompost".
Apa yang kita
perlukan: Cara menternak cacing vermicompost?
Dibawah adalah senarai yang anda perlukan untuk memulakan penternakan cacing:
Kita boleh ternak apa
sahaja jenis cacing kompos seperti african nightcrawler, blue worm, tiger worm,
red wiggler dan banyak lagi. Saya tidak begitu menyarankan sahabat tani
sekalian untuk menternak cacing tanah kerana cacing tanah kurang sesuai untuk
hidup dalam kawasan bersampah atau bahan organik. Cacing tanah juga kurang
efektif untuk memproses bahan mereput atau bahan organik maka, hasil baja atau
casting pun kurang. Cacing tanah juga cepat terkena serangan "protein poisoning"
yang mana boleh membunuh mereka, ini kerana cacing tanah tidak biasa tinggal
dikawasan yang terdapat lambakan bahan organik atau bahan Nitrogen. Cacing
tanah agak sensitif dengan kawasan berasid.
Saya pernah
menternak tiga jenis cacing iaitu cacing tanah, cacing rok/rock (cacing umpan
di Sabah) dan cacing african nightcrawler dan hasil dari pengalaman saya
bersama mereka menunjukkan bahawa cacing african nightcrawler mempunyai daya
tahan yang tinggi, aktif dan rakus. Cacing african nightcrawler adalah terbaik
untuk kawasan tropika dan saya sangat sarankan cacing african
nightcrawler sebagai cacing vermicompost.
Untuk info tambahan mengenai cacing african nightcrawler, sahabat tani boleh
klik pautan dibawah.(jangan risau, saya bukan jual ebook. Ini pos saya sebelum ini)
2. Bahan untuk
bedding
Bedding atau medium adalah tempat untuk cacing tinggal, membiak, tempat
berlindung dan makan. Bedding ibarat tanah bagi cacing tanah tapi untuk cacing
kompos; kita gunakan bahan organik.
Bahan yang
digunakan untuk membuat bedding adalah bahan yang dipanggil bahan karbon
seperti kadbod, kertas, kotak, tray telur, surat khabar, kompos, daun - daun
tua, najis haiwan (kuda, kerbau, lembu atau kambing atau arnab), peat moss,
batang pisang kisar, sabut kelapa, habuk kayu, habuk padi. Yang penting pH
neutral, boleh mengekalkan kelembaban, pengudaraan yang baik dan terhindar dari
bahan kimia yang boleh membunuh cacing.
Saya sudah mencuba
pelbagai jenis kombinasi bedding dan setakat ini tiada masalah selagi kita
menjaga kelembaban bedding, pH bedding dan pengudaraan. Ini adalah kali ketiga
saya menuai baja vermicompost saya, Alhamdulillah.
Kombinasi bedding
saya yang pertama ialah kadbod, dedaun, sedikit tanah liat, surat
khabar, sebuah buku yellowpages, dan batang pisang. Selepas beberapa ketika,
bedding saya sudah berkurang sebanyak 50%, saya telah sediakan bedding kedua
sebulan lebih awal. Selang sebulan, bedding saya sudah berkurang sebanyak
50%. Saya telah sediakan bedding kedua sebulan lebih awal dan saya campurkan
sekali bedding kedua ke dalam bedding pertama.
Bedding kedua saya terdiri
dari kadbod, surat khabar, tray telur, serbuk kopi terpakai (1 kilo), 5 kilo
sisa buangan sayur yang saya dapatkan dari pasar sayur Kota Kinabalu, dedaun,
sedikit tanah diayak dan cengkerang telur (20 - 30 biji) dan arang bakau. Saya
memeram bedding ini lebih kurang sebulan kerana saya ingin meneutralkan pH kopi
dan membiarkan thrmophilic microb atau mikroorganisma termopilik (mikrob yang
menguraikan atau mengompos bahan mereput / organik. Microb termopilik
menghasilkan haba ketika menguraikan bahan organik dan ini boleh membunuh
cacing.
Bedding ketiga saya sama
seperti bedding kedua saya bezanya ialah tiada sisa serbuk kopi saya masukkan
dan lebih banyak tanah saya campurkan. Bedding saya terperam selama tiga bulan
kerana saya tidak sabar untuk mencuba bedding keempat saya, bedding ketiga
ditangguhkan dan bedding keempat didahulukan
Resepi bedding keempat saya adalah
kombinasi enapan dari kawasan paya berhampiran rumah saya dan diaduk dengan
kadbod. Kenapa saya tertarik dengan enapan ini adalah kerana saya berfikir
bahawa enapan ini ialah kompos ribuan tahun yang tersimpan di hutan itu sehinggahlah
paya itu dikorek, pokok ditebang dan diratakan bagi infrastruktur perumahan.
Enapan berwarna hitam itu ringan dan terapung diatas air, jadi saya berfikir
ini bukanlah tanah tetapi kompos. Selepas sebulan lebih, cacing selesa dengan
bedding enapan itu, saya tidak mendapat sebarang "complain",
cemuhan atau signal tidak selesa daripada rakyat cacing, agak bagus!
Akhir sekali, bedding yang sedang didiami oleh cacing sekarang ini adalah
bedding saya yang ketiga dan Alhamdulillah mereka selesa.
|
bedding pertama |
Bedding hendaklah
setiasa dipantau; pengudaraan, pH dan kelembaban adalah aspek yang amat
penting. Saya akan mengulas tiga aspek ini dengan lebih panjang pada pos yang
seterusnya. Walaupun saya menerangkan makanan dan bedding dalam bab yang
berasingan tetapi hakikatnya cacing juga menjadikan bedding sebagai makanan
mereka akan tetapi bedding tidaklah kaya dengan nutrient jika dibandingkan
dengan makanan dari sayur dan buah yang mereput. Bedding ialah sumber karbon
dan makanan atau bahan organik mereput adalah sumber nitrogen dan beberapa
unsur lain yang bagus untuk pertumbuhan cacing juga menghasilkan baja
yang berkualiti.
3. Makanan
Makanan cacing
dipanggil bahan mereput atau bahan organik. Makanan cacing ialah bahan yang
kaya dengan nitrogen. Bahan organik adalah seperti sayuran atau buah - buahan
yang sedang melalui proses reputan. Contoh bahan organik ialah kulit tembikai,
kulit betik, kulit pisang, sayuran. Elakan buah masam atau asidik, pedas
seperti cili, daging & lemak atau makanan terdapat gula kerana akan menarik
perhatian haiwan lain yang boleh menganggu ketenteraman kita dan juga cacing.
Nasi, pasta atau roti boleh diberikan dalam kuantiti yang kecil, jangan
terlebih kerana boleh menghasilkan asid.
4. Bekas
Untuk skala kecil
atau skala belakang rumah seperti saya, saya hanya memerlukan bekas plastik dan
polystyrene. Untuk skala lebih besar, saya akan bincangkan lebih terperinci
pada pos lain.
Saya akan biarkan bekas
saya tanpa penutup bagi mengelakkan masalah tidak cukup pengudaraan, cuma lampu
kenalah sentiasa dipasangkan kerana cacing tidak suka dengan kawasan
terang, cacing akan cuba untuk mengelak dari cahaya dengan masuk ke dalam
bedding secepat mungkin. Bila tidak dipasangkan lampu, cacing african
nightcrawler suka merayap keluar lebih – lebih lagi selepas hari hujan. Cuma bila menggunakan
kaedah saya ini, kelembaban bedding harus dipantau dengan lebih kerap kerana
amalan membuka penutup bekas akan menyebabkan bedding akan lebih cepat kering
dan ini boleh membahayakan cacing. Sesetengah penternak menebuk lubang di dasar
bekas untuk mengalirkan air lebihan bedding atau leachate. Saya tidak menebuk
lubang kerana bin saya tidak berpenutup. Air cepat tersejat ke udara dan
bedding saya cepat kering kalau saya menebuk lubang pada dasar bin atau
bekas.
5. Air
Air sangat penting
kerana cacing memerlukan keadaan yang sentiasa lembab untuk memudahkan mereka
bergerak dan bernafas. Air juga diaplikasikan ke atas bedding sebagai regulator
suhu agar cacing sentiasa dalam keadaan sihat dan dapat menghasilkan baja
di tahap yang optimum. Kajian menunjukkan pertumbuhan dan tahap pembiakan
cacing akan mula menurun jika suhu mula melebihi 30⁰C dan kurang dari
20⁰c. Kita perlu membuat semburan harian keatas bedding. Semburan air juga
bergantung pada cuaca, semburan perlu ditingkatkan pada hari kering dan panas.
Semburan air dikurangkan pada cuaca hujan dan sejuk. Selain semburan air, air
juga diperolehi dari makanan cacing. Jadi, sila pantau bedding anda sebelum
spray.
Air juga diperlukan untuk mengaduk bedding buat kali pertama. Gambar di kanan
ialah campuran kertas, kadbod dan tray telur. Rendamkan campuran bedding tadi
dan biarkan seketika agar air meresap ke seluruh permukaan kertas. Selepas itu
toskan dan perah. campurkan dengan bahan organik dan biarkan selama tiga hari
dan keatas bagi mengelakkan haba dari bakteria thermophilik. Cara
memerhatikan tahap kelembaban bedding adalah dengan mengambil sedikit bedding
dan perahkan, kalau ada titisan air dalam 2-4 titik, itu adalah kelembaban
optimum untuk cacing.
6. Sedikit tanah
Kenapa saya tambah sedikit tanah? Kerana tanah
menambahkan unsur surih pada baja dan membantu cacing untuk mencerna makanan.
7. Cengkerang telur/
limestone/ abu
Saya gunakan
cengkerang telur untuk meneutralkan pH bedding. pH optimum untuk ternakan
cacing ialah 6 - 8 tetapi paling bagus ialah 7 (neutral). Terlebih
memberi makan adalah salah satu faktor yang menyebabkan sourcrop atau bedding
menjadi asidik. Bedding asidik akan memudaratkan cacing malah boleh membunuh
cacing. Jangan pandang ringan dengan sourcrop kerana sourcrop
boleh menyebabkan keracunan protein dan penyakit ini boleh membunuh ramai
cacing seperti wabak kolera. Cara untuk mengaplikasikan cengkerang telur ialah
dengan menumbuk halus cengkerang telur dengan lesung batu, tabur rata diatas
bedding lalu spray-kan air. Selepas itu, terbalikkan bedding secara beransur
-ansur dan perlahan - lahan. Taburkan secara berkala dari semasa ke semasa
sehingga cacing kelihatan selesa ataupun tiada cacing yang cuba mengengsot
keluar.
|
|
cacing terkena keracunan protein disebabkan pH rendah |
|
8. Arang
Fungsinya hampir sama
dengan tanah, membantu pencernaan cacing, menambahkan unsur karbon serta
meningkatkan kadar pembiakan mikrobial aktif (active microbial) atau bakteria
baik yang hidup bersama cacing, membantu cacing mencernakan bahan organik
menjadi baja yang berharga. Mikrobial aktif membantu cacing mencernakan
bahan organik menjadi baja (casting) yang berharga. Mikrobial aktif juga akan
tinggal dalam baja vermicompost, mikrobial membantu untuk menyubur dan
melindungi tanaman daripada penyakit.
Saya rasa cukup untuk setakat in. Saya telah pun
menerangkan tentang apa yang kita perlukan untuk menjadi penternak cacing
vermicompost. Di bahagian kedua iaitu cara menternak cacing
vermicompost | Bahagian kedua, saya akan menceritakan tentang proses -
proses yang terlibat dalam penternakan cacing dari dengan lebih
terperinci.
Terima Kasih kerana
membaca sehingga habis. Jika ada kekurangan, komen dan pertanyaan. Komen anda
sangat dialu -alukan, sekurang - kurangnya ada orang membaca sehingga
habis.