Jumaat, 11 Oktober 2013

Rumah penduduk ganti surau lama yang dihanyutkan banjir - kota marudu

Tiada ulasan:
 



KOTA MARUDU 10 Okt. - Kerana ingin bersama menunaikan solat secara berjemaah, seorang penduduk, Amirul Yusof Abdullah @ Jusup Sagina, 38, telah mengambil langkah menjadikan rumah kosong milik keluarganya sebagai surau.

Amirul berkata, idea tersebut timbul seminggu sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tahun lalu selepas surau usang tempat mereka mendirikan ibadah yang telah didirikan pada 1980-an dihanyutkan oleh banjir yang melimpahi Sungai Samparita.

Menurutnya, rumah tersebut adalah milik ayahnya, Sagina Tanggu yang kemudiannya diserahkan kepada Mary Anne, anak sulungnya yang kini menetap di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Sementara menunggu ihsan surau daripada kerajaan, biarlah kami mendirikan ibadah di sini biarpun rumah ini sendiri terancam oleh banjir dari Sungai Samparita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Amirul, walaupun surau tersebut tidak sempurna, penduduk dari kampung berdekatan dan orang luar yang datang berurusan di Sekolah Kebangsaan Samparita yang terletak berdekatan turut menunaikan solat.

Kerana memikirkan keselamatan jemaah pada masa akan datang, seorang penduduk, Mohd. Nurikhwan Abdullah @ Benson Mapan, 38, telah mewakafkan sebahagian tanah milik keluarganya bagi tujuan tapak surau sekiranya pihak kerajaan bersetuju membina surau untuk mereka.

"Hati saya tergerak untuk menyumbang ke arah pembinaan surau ini semata-mata mahu meningkatkan syiar Islam, apatah lagi apabila saya memikirkan ramai pihak keluarga saya yang bukan Islam kini tertarik dengan agama suci ini," jelasnya.

Mohd. Nurikhwan menegaskan, sebuah surau yang sempurna perlu didirikan segera agar umat Islam di Kampung Samparita dan kampung berdekatan dapat menunaikan ibadah dengan selesa.

"Negara kita adalah negara Islam yang menjadi contoh kepada negara Islam lain, jadi adalah sukar diterima jika sebuah surau kecil tidak dapat dibina di kampung ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Cakapbisa. Dikuasakan oleh Blogger.