Sabtu, 23 Mac 2013

Projek Agropolitan Sabah boleh membasmi kemiskinan sabah

Tiada ulasan:
 

sabah development corridor

KOTA KINABALU: Sabah menerusi pelan tindakan pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah mengenal pasti perladangan sawit sebagai kaedah sesuai bagi membasmi kemiskinan di negeri ini.

Model agropolitan projek-projek berasaskan pertanian yang akan dibangunkan di Beluran dan Kemabong itu, yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi, disasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar di kawasan luar bandar di Sabah.

“Tapak bagi projek agropolitan (Beluran dan Kemabong) akan dimiliki oleh golongan miskin menerusi hak milik bersama,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (Sedia).

Ia juga akan menyediakan asas bagi golongan miskin untuk menyertai perjanjian perkongsian keuntungan 60:40 pengeluaran tandan buah segar (FFB) antara Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB)/Sawit Kinabalu, syarikat berkaitan kerajaan, dan golongan miskin.

Beliau berkata pembersihan tanah dan penanaman sawit di Beluran (4,000 hektar) dan Kemabong (1,000 hektar) akan bermula tahun ini.

Model agropolitan itu terdiri daripada zon pertanian utama (MAZ), kawasan penempatan (SA), zon ekonomi masyarakat (CEZ) dan program pembangunan sumber manusia (HRDP).

Penanaman tanaman komersil besar-besaran dijalankan di MAZ, yang menyediakan sumber pendapatan utama kepada golongan miskin, manakala SA berfungsi sebagai tapak bagi tempat tinggal berpusat dan menyediakan kemudahan seperti perumahan, utiliti, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Objektif utama HRDP adalah untuk meningkatkan modal insan dengan melengkapkan golongan miskin dengan kemahiran dan pengetahuan yang perlu, katanya, sambil menambah projek itu akan dijalankan oleh SLDB/Sawit Kinabalu.

Dalam inisiatif berkaitan, lapan Projek Permulaan (EPP), termasuk dua peluang baharu, juga telah diperuntukkan bagi pembangunan di bawah SDC, dalam usaha untuk menggunakan kira-kira 350,000 hektar tanah yang belum dimajukan di negeri ini.

Lapan projek itu ialah Akuakultur Udang, Nukleus Rumpai Laut Nasional, Projek Kultur Gabungan Gamat dan Kerapu Harimau, Taman Pengeluaran Makanan Kekal, Pusat Komersil Burung Walit, Kawasan Perindustrian Sabah Agro, Projek Kultur Ikan Marin Bersepadu dan Projek Kultur Kerapu dan Siakap Bersirip Tinggi.

Sabah mempunyai kira-kira dua juta hektar tanah bagi pertanian, dengan sebahagian besarnya ditanam dengan tanaman komersil seperti minyak sawit dan getah, manakala 350,000 hektar lagi belum dibangunkan.

Beliau berkata kebanyakan kawasan yang belum dimajukan adalah kawasan yang berpecah-pecah atau terletak di kawasan yang sukar dimasuki.

“Satu-satunya cara berdaya maju untuk membawa pembangunan ke tanah-tanah yang belum dimajukan ini ialah dengan menyatukannya menjadi unit ekonomi dan menyediakan sokongan logistik, utiliti dan perkhidmatan yang perlu.

“Pelaburan hiliran dalam aktiviti bernilai tinggi akan merangsang pengeluaran barangan pasaran khusus seperti sarang burung boleh dimakan, produk herba dan makanan tani diproses.

“Projek permulaan ini dijangka menjana kira-kira RM3.58 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) bagi negeri dan mewujudkan 29,611 peluang pekerjaan pada 2020,” katanya.

Dilancarkan pada 29 Jan, 2008, SDC akan menumpukan kepada Kawasan Pembangunan Strategik (SDA) yang menjana pertumbuhan, termasuk Bio-Segitiga Sandakan-Beluran-Kinabatangan, Kawasan Marin Lahad Datu-Kunak-Semporna-Tawau, Lembah Makanan Dalaman, Kinabalu Gold Coast Enclave, Kluster Minyak dan Gas dan Kawasan Pembangunan Bersepadu Brunei Bay.

Menjelang 2025, inisiatif SDC itu disasarkan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kepada tiga kali ganda menerusi pelaksanaan program keutamaan yang juga dijangka mewujudkan 900,000 peluang pekerjaan.

Sedia dipertanggungjawabkan sebagai pihak berkuasa sehenti untuk memacu SDC, dengan tanggungjawab utama bagi merancang, menyelaras, menggalakkan dan mempercepat pembangunan SDC.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Cakapbisa. Dikuasakan oleh Blogger.